Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 Februari. - Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) mengumumkan bahawa ketetapan 1 Ramadan 1447 Hijrah bagi Negara Brunei Darussalam (NBD) akan jatuh pada Khamis, 19 Februari 2026 Masihi.
Sehubungan dengan itu, umat Islam di negara ini mula menunaikan Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir serta bertadarus Al-Quran di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bermula pada esok malam, Rabu, 1 Ramadan 1447H bersamaan 18 Februari 2026M selepas Sembahyang Fardu Isyak.
Hasil merukyah awal bulan Ramadan 1447H petang tadi telah diumumkan secara langsung melalui Radio Televisyen Brunei (RTB), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Persidangan mengenai hasil merukyah anak bulan Ramadan 1447H pada tahun ini dari tempat-tempat yang ditentukan dan ketetapan persidangan berkenaan telah disembahkan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Persidangan yang diadakan di Bilik As'syura, Tingkat 1, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) juga dihadiri oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan MUIB.
Pada tahun ini, lima lokasi telah ditetapkan untuk merukyah anak bulan Ramadan, iaitu Daerah Brunei dan Muara bertempat di Bangunan Mutiara Exchange, Lebuh raya Tungku; Taman Rekreasi Tanjung Batu, Kampung Sabun, Pekan Muara; dan Bukit Agok, Jerudong. Manakala, bagi Daerah Tutong bertempat di Bangunan Hilal Bukit Ambog; dan bagi Daerah Belait ialah di Bangunan Hilal Bukit Lumut.
Terdahulu, acara keagamaan bagi menunggu hasil merukyah awal bulan Ramadan 1447H diadakan di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, KHEU dimulakan dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Mohammad Arsyad Shaliheen bin Haji Mohamad Aslenan, johan Musabaqah Tilawah Al-Quran Berlagu Antara Sekolah-sekolah Ugama Peringkat Akhir Senegara Tahun 2025.
Acara diteruskan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Awang Haji Muhammad Naqib bin Haji Awang.
Seterusnya, bacaan tahlil dan Doa Arwah beramai-ramai dipimpin oleh Imam Tingkat I, Masjid Kampung Sungai Hanching, Pengiran Ahmad Fathurrahman Nur Firdaus bin Pengiran Haji Hassanuddin; dan yang seterusnya mengimamkan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.
Manakala Azan Maghrib dikumandangkan oleh Bilal Tingkat II, Masjid Kampung Beribi, Awang Muhd. Fakhri bin Haji Awang Damit.